Friday 23 May 2014

Pembangunan Universiti Malaysia Sabah


Oleh : Masturasiah Binti Katalleh
Pada tahun 1994, Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah ditubuhkan secara rasmi. Sejarah penubuhan UMS bermula  pada 31 Januari 1994 apabila YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Mahathir bin Mohamad menyuarakan  untuk menubuhkan sebuah universiti di  negeri Sabah dan pada 28 November  1995 upacara perletakan batu asas kampus UMS telah diadakan. Pejabat Pengurusan Universiti telah bermula di Kementerian Pendidikan Malaysia pada bulan September 1994 dan pada bulan November 1994, sebuah pejabat pentadbiran sementara diadakan di bangunan Gaya Centre, Kota Kinabalu. Pengajian akademik telah bermula di kampus sementara di   Kolej Komuniti Yayasan Sabah di Likas pada tahun 1995 dan Kolej Latihan Telekom, Menggatal pada tahun 1996. Kemudian mulai bulan Jun 1999,  UMS telah berpindah ke kampus tetapnya di Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu. Pengambilan pelajar printis seramai kira-kira 400 orang  bermula pada bulan Jun 1999 dan pada 19 Mei 2000, UMS telah  beroperasi sepenuhnya di kampus tetap. Pada 19 September 2000  YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad  mengisytiharkan perasmian kampus UMS.  Meskipun usia UMS masih muda,  namun ia merupakan organisasi yang amat tersusun, yang memiliki keyakinan diri yang mantap dan merupakan sebuah universiti yang indah dan mempunyai komitmen yang tinggi untuk mencapai piawaian antarabangsa.
Universiti Malaysia Sabah (UMS) ialah universiti awam yang  ke-9 ditubuhkan pada tahun 1994. Ia mula mengambil pelajar pada tahun 1995 dimana bilangan kumpulan pelajar pertamanya ialah seramai 205 orang. UMS kini mempunyai dua kampus iaitu Kampus Induk di Teluk Sepanggar dan juga Kampus Cawangan di Wilayah Persekutuan Labuan dan sebuah Sekolah Pertanian Lestari di Sandakan, Sabah. Pada awal penubuhannya UMS hanya mempunyai tiga buah sekolah iaitu Sekolah Sains dan Teknologi, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi dan Sekolah Sains Sosial serta sebuah pusat pengajian liberal iaitu Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa. 
Sehingga kini, UMS telah menubuhkan sepuluh buah lagi sekolah iaitu Sekolah Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat, Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial, Sekolah Psikologi dan Kerja Sosial, Sekolah Sains Makanan dan Pemakanan, Sekolah Perhutanan Tropika Antarabangsa, Sekolah Pengajian Seni, Sekolah Perubatan dan Sekolah Pertanian Lestari. Manakala  dua buah sekolah iaitu Sekolah Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan dan Sekolah Sains Informatik Labuan ditubuhkan di Kampus Antarabangsa Labuan. Bagi menjalankan fungsi kecemerlangan dalam penyelidikan , UMS juga mempunyai tiga buah institut penyelidikan iaitu Institut Penyelidikan Biologi Tropika dan Pemuliharaan, Institut Penyelidikan Marin Borneo dan Institut Penyelidikan Bioteknologi. 
Universiti ini dibina untuk memenuhi keperluan pembangunan sumber tenaga manusia yang berilmu dan berketerampilan dalam negara yang pesat membangun untuk menjadi sebuah negara industri.  UMS beriltizam untuk berbakti kepada komuniti negara dan antarabangsa melalui pengajaran, penyelidikan dan khidmat bakti yang mencipta keunggulan, kemajuan dan kesejahteraan yang tinggi. Bagi merealisasikan hasrat itu, UMS menawarkan program-program akademiknya berdasarkan tiga komponen asas  kursus iaitu kursus-kursus teras universiti, teras sekolah dan teras program.
Teras Universiti
Kursus teras universiti (TU)ditawarkan melalui Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) dan Pusat Ko-kurikulum dan Pemajuan Pelajar yang menawarkan kursus-kursus ko-kurikulum.  Kursus-kursus yang ditawarkan oleh PPIB akan mendedahkan pelajar kepada aspek-aspek yang berkaitan dengan falsafah perbandingan, kesusasteraan, kesenian, falsafah dan kaedah sains, analisis sosial, sejarah, dasar pembangunan, hal-ehwal sosioekonomi dan perhubungan antarabangsa Malaysia serta pengetahuan komputer.  Selain daripada itu, pelajar juga akan didedahkan kepada pengetahuan akhlak, etika, perbandingan peradaban dunia (Islam Asia dan barat), budaya-budaya utama dunia dan kemahiran berbahasa.  Manakala Pusat Ko-kurikulum dan Pemajuan Pelajar pula menawarkan kursus yang bercorak kemahiran merangkumi komponen kemahiran, keterampilan, kepimpinan dan kemasyarakatan, keusahawanan, waja diri dan Pasukan Pakaian Seragam.
Teras Sekolah & Program
Kursus-kursus teras sekolah (TS) dan program (TP) adalah komponen  utama program pengajian seseorang pelajar yang akan dipelajari secara mendalam dan dianggap sebagai bidang pengkhususannya.
·         Pelajar yang belajar di UMS akan disediakan dengan suasana persekitaran pembelajaran yang sihat. Kolej kediaman yang disediakan adalah bersih dan selesa dengan keadaan persekitaran yang harmoni, sesuai bagi pembelajaran dan aktiviti ko-kurikulum. Kemudahan kediaman diluar kampus terdiri daripada rumah teres dan pangsapuri. Kolej kediaman pelajar di dalam kampus dikenali sebagai 'kampung' AB,CD dan E. Selain itu, terdapat beberapa buah kolej kediaman lain di luar kampus seperti Kolej Kediaman Indah Permai dan Kolej Kediaman Kingfisher. Setiap pangsapuri dan rumah teres tersebut dilengkapi dengan peralatan perabot.
·         Kolej Kediaman
Kediaman
Jumlah
Kemudahan
Kampung AB
1600 pelajar
Kemudahan: Bilik penginapan, Kafetaria, Bilik Perbincangan, Surau Siswa/siswi, dan Bilik Gerakan JAKMAS.
Kampung CD
1400 pelajar
Kemudahan: Bilik penginapan, Kafetaria, Bilik Perbincangan, Surau Siswa/siswi, dan Bilik Gerakan JAKMAS.
Kampung E
2700 pelajar
Kemudahan: Bilik penginapan, Kafetaria, Bilik Perbincangan, Surau Siswa/siswi, Bilik Gerakan JAKMAS, Pasar mini dan Kafe siber.
Kolej Kediaman Kingfisher
800 pelajar
Kemudahan: Bilik penginapan, Kafetaria, Bilik Perbincangan, Surau Siswa/siswi, dan Bilik Gerakan JAKMAS.
Kolej Kediaman Indah Permai
1,400 pelajar
Kemudahan: Bilik penginapan, Kafetaria, Bilik Perbincangan, Surau Siswa/siswi, dan Bilik Gerakan JAKMAS.



No comments:

Post a Comment