Powered By Blogger

Friday, 23 May 2014

“Cinta Harta, Manusia Dan Tuhan”
Oleh : Masturasiah Binti Katalleh

Cinta merupakan satu ukuran asas pengalaman manusia yang memberikan antaranya, perasaan kasih sayang, tarikan, asas kemesraan dan keserasian antara sesorangan, rela berkorban untuk orang lain, perasaan tertarik dan hubungan kepada alam, benda hidup ataupun makhluk lain. Ia dapat ditunjukkan melalui perasaan, emosi, kelakuan, pemikiran, persepsi dan sikap. Ia mempengaruhi, mendasari dan menetukan pola utama hubungan antara perorangan dan pengenalan diri.  Cinta juga merupakan sebuah anugerah yang terindah kepada manusia.  Setiap manusia mempunyai perasaan itu namun cinta juga umpama racun yang berbisa.  Namun kini persepsi cinta bagi remaja ialah untuk memuaskan hawa nafsu.  Oleh itu, kes pembuangan bayi semakin banyak akibat cinta yang tidak memikirkan jangka masa panjang.
Cinta kita boleh bahagikan kepada tiga iaitu cinta kepada harta, manusia dan sang pencipta. Namun kini cinta kepada harta semakin ketara oleh umat manusia.  Mereka semakin mengejar kekayaan meskipun mereka tahu bahawa hidup ini hanyalah sementara.  Cinta kepada harta juga memberikan impak negatif kepada perasaan manusia.   Cinta kepada harta menyebabkan manusia mempunyai perasaan hasad dengki terhadap orang lain.  Hal ini demikian kerana, mereka mempunyai jiwa yang miskin dengan cinta sesama insan, tumbuhan dan haiwan.   Mereka tidak sedar andainya tiada tumbuhan mereka tidak mampu menghirup udara yang segar.  Cinta harta membuat manusia sanggup berbunuhan kerana sifat tamak haloba yang bersangkar dalam diri manusia.  Harta mampu membuat manusia menjadi sesat sehingga membeza-bezakan taraf dengan golongan miskin dan kaya.   Mereka tahu bahawa manusia di sisi Tuhan adalah sama dan yang membezakan adalah amal yang dilakukan.
Cinta manusia sesama manusia adalah cinta yang paling indah yang dianugerahkan kepada manusia.  Cinta sejati mampu membawa kepintu syurga.  Hari kekasih tidak boleh disambut oleh umat Islam.  Hari kekasih adalah memperingati seorang paderi yang bernama Saint Valentine yang dihukum bunuh akibat menjalankan tugasnya sebagai paderi dan menikahkan para pemuda yang mahu berkahwin.  Cinta manusia terbahagi kepada tiga iaitu cinta daripada hasutan syaitan, jin dan ilham daripada Allah kepada hambanya.  Cinta daripada hasutan syitan ialah percintaan manusia tapi tidak mengikut cara yang halal pada pandangan Islam.  Contohnya sepasang kekasih yang terlanjur dan selepas itu mereka berkahwin itu dinamakan cinta daripada hasutan syaitan.  Cinta daripada jin iaitu cinta yang meminta bantuan jin untuk mendapatkan seseorang.  Contohnya seorang lelaki yang mencintai seorang wanita namun wanita tersebut tidak membalas cintanya.  Dia pun meminta bantuan jin untuk mendapatkan cinta wanita itu lalu berkahwin. Cinta ilham dari Allah ialah cinta dari mata turun ke hati serta berkahwin atas dasar saling mencintai dan cinta itu dinamakan syurga cinta.  Cinta bukan sahaja untuk lelaki dan wanita namun cinta ini adalah kepada Tuhan, ibu bapa,  keluarga dan sahabat.

Sebagai manusia kita harus tahu kasih sayang Allah kepada hambanya tanpa mengira amal yang mereka laksanakan. Manusia diberi rezeki yang luas namun tidak mampu mengucapkan syukur kepada-Nya.  Andainya kita mampu melihat ganjaran yang diberi pastinya seluruh umat manusia akan mengejar-ngejar ganjaran yang diberikan oleh-Nya.  Cinta Allah kepada hamba-Nya sangat nyata kerana dengan senggaja Allah menunda-nunda siksaan kepada hamba-Nya.  Allah memberi kesempatan agar umat-Nya bertauabat.  Semakin banyak ujian menimpa kepada umat-Nya semakin besar kasih sayang Allah kepada mereka.  Allah telah mencipta syurga untuk hamba-Nya yang bertakwa.  Keindahan syurga tidak terjangkau pemikiran manusia dengan nikmat yang diberikan.




Thursday, 3 April 2014

CERPEN : IBU


Kampung Layangan, tinggallah seorang tua dan dua orang anaknya.  Ibu tunggal itu bernama Mak Salmah serta anaknya yang bernama Amran dan Amir.  Amran merupakan anak sulung yang berumur 17 tahun dan Amir pula berumur 15 tahun. Kedua-dua anaknya bakal menghadapi peperiksaan besar.  Amran akan menduduki peperiksaan SPM manakala Amir akan menduduki peperiksaan PMR.  Mak Salmah kehilangan suaminya disebabkan kemalangan jalan raya yang meragut nyawanya akibat daripada pendarahan yang teruk.  Mak Salmah bersusah payah membanting tulang untuk membesarkan kedua-dua anaknya meskipun keadaan beliau kini telah uzur.  
 “ Mak, sedapnya sarapan hari ini! ”, kata Amran dengan perasaan yang gembira sambil memakan ubi kayu bercecah semangkuk kelapa parut.
 “ Amran, Amir, tak lama lagi sekolah akan bermula jadi kamu mesti pergi ke sekolah sekarang”, kata Mak Salmah. Kemudian, Mak Salmah menghulurkan wang saku sebanyak lima puluh sen.  Meskipun Amran malu dengan jumlah wang yang diberikan, namun dia tetap bersyukur dengan wang yang diberikan oleh ibunya.
          Pada suatu pagi, apabila mereka tiba di hadapan pintu pagar sekolah, datang sekumpulan pelajar nakal yang sering membuli ingin memeras wang mereka.  Kumpulan pelajar nakal itu sentiasa mencari mangsa untuk mendapatkan duit.
 “Macam biasalah duit mana?” tanya salah seorang pembuli tersebut. 
“Maaflah ibu saya bagi tiga puluh sen sahaja” kata Amran yang ligat berfikir mencari alasan.  Walaupun jumlah wang itu begitu sedikit  mereka tetap berkeras mahukan duit itu.
Apabila waktu rehat, semua pelajar bergegas ke kantin untuk membeli makanan.  Namun demikian, Amran dan Amir duduk di pondok yang berdekatan dengan kantin sekolah.  Amran ingin mencari jalan penyelesaian agar dapat meneruskan pembelajaran mereka kerana yuran persekolahan belum dilunaskan. Mereka hanya diberi tempoh masa sebulan untuk melunaskan yuran persekolahan.
 “Amran kamu sudah memaklumkan kepada ibu kamu untuk membayar yuran sekolah kamu berdua?”, kata cikgu Harun.
 “Erm...  maaf cikgu saya belum maklumkan kepada ibu saya”, kata Arman dengan nada yang  sayu.
“Saya akan bagi tempoh hingga hujung bulan ini, kalau ibu kamu tidak dapat melunaskan yuran kamu dan Amir tidak dapat meneruskan persekolahan” kata-kata cikgu Harun masih terngiang-ngiang ditelinga Amran.   Apabila mengenangkan nasib mereka sekeluarga dia bertekad untuk mengubah hidup mereka sekeluarga.  Tiada sesiapa yang akan membantu kalau bukan dirinya sendiri.
.  “Hai, bagaimanalah nasibku. Ada wang tapi acapkali diambil orang”, kata Amran dengan nada yang sedih.  Tanpa dia sedari air matanya berlinangan.  Pelajar-pelajar yang melintasi di pondok mengejek dan mentertawakan Arman.  Namun Arman tetap menguatkan hatinya agar tabah dan terus bersemangat.  Dengan perasaan yang sedih dan hiba Amran dengan perlahan pergi ke sebatang paip lalu menadah air dengan kedua belah tangannya dan meminumnya.  Perlahan-lahan air matanya berlinangan.  Amir terlihat perkara yang dilakukan oleh abangnya. Dia turut mengalirkan air mata kerana sebak mengenangkan nasib mereka.
Amran bertekad untuk mencari alternatif supaya dapat melunaskan yuran sekolah.  Dia tidak mahu ibunya bersusah mencari wang kerana sejak kebelakangan  ini ibunya sering batuk-batuk dan wajahnya pucat.   Selepas habis waktu sekolah Arman nekad untuk pergi ke pekan untuk mencari pekerjaan namun tiada sebuah kedai pun yang memerlukan pekerja sambilan.
  Arman berjalan di kawasan pekan lalu ternampak iklan kerja sambilan iaitu sebagai pelayan kedai makan. Gaji yang ditawarkan iaitu mengikut tempoh masa seseorang itu berkerja. 
“Maaf encik, saya ingin bertanya. Bolehkah saya berkerja di kedai makan encik?”. Tanya Amran sambil menunggu jawapan dari pengurus kedai.
 “Ya sudah tentu boleh”, kata pengurus kedai tersebut dengan hati yang senang.  Tanpa berfikir panjang Arman terus bersetuju untuk berkerja di kedai makan tersebut.
Tanpa pengetahuan ibunya Amran telah mengambil keputusan untuk berkerja sambilan bagi melunaskan yuran dan perbelanjaan mereka.  Amran berkerja sambilan pada waktu petang di pekan sebagai pelayan kedai makan.  Setelah mendapat hasil dari kerja sambilannya Amran dapat melunaskan yuran persekolahan mereka mengikut tempoh masa yang ditetapkan.
 “Cikgu, saya ingin membayar yuran persekolahan saya dan Amir”, kata Amran dengan nada yang gembira.
  “Amran, saya nak bertanya sedikit.  Adakah kamu berkerja di mana-mana kedai?”.  Tanya cikgu Harun dengan riak wajah ingin tahu.  Amran terperanjat apabila cikgu Harun bertanya tentang perkara tersebut. 
“Erm...erm...maafkan saya cikgu.  Saya terpaksa berkerja untuk melunasakan yuran sekolah dan menyediakan kelengkapan persekolahan saya dan Amir”, kata Amran dengan nada yang sayu.
 “Tidak mengapa Amran.  Saya faham situasi kamu sekarang.  Lagipun kamu merupakan anak sulung.  Namun, saya berharap kamu dapat memberi tumpuan kepada pelajaran”, kata Cikgu Harun memberi harapan dan semangat kepada Amran.
 Setelah membayar yuran tersebut, Amran membeli kelengkapan bagi persekolahan mereka.
 “ Adik, ini abang belikan buku untuk kamu membuat ulang kaji pelajaran.  Abang harap kamu sangat kamu berusaha untuk mengubah nasib kita sekeluarga” kata Arman member kata peransang agar adiknya akan gigih berusaha.   Amran menyediakan keperluan sekolah Amir supaya mereka sama-sama dapat menumpukan pelajaran. Disamping itu, dapat membuat persediaan peperiksaan PMR yang bakal dihadapi oleh Amir.
Amran harus bijak membahagikan masa agar dapat mengulangkaji  pelajarannya.  Apabila waktu malam, Amran mengambil masa untuk mengimbas kembali pelajaran yang dipelajarinya semasa di sekolah.  Amran dan Amar merupakan salah seorang pelajar terbaik di sekolah mereka.  Bagi mereka kemiskinan bukanlah penghalang untuk mereka berhenti berusaha. Malah, kemiskinanlah yang membuatkan mereka lebih tekun berusaha.  Bak kata pujangga kemiskinan bukan untuk diwarisi.
 Pada suatu ketika Amran dan Amar pulang dari sekolah, mereka menyedari bahawa ibunya tidak berada di rumah.   Amran dan Amir memanggil ibunya sambil mencari di kawasan rumah mereka.  Akan tetapi kelibat ibunya tidak kelihatan.
 “Ibu...ibu...! Ibu dimana?”. Suara Amran dan Amir semakin kuat.  Namun, panggilannya tidak disahut oleh ibunya.
 Tiba-tiba Pak Mail datang dan berkata “Amran, Amir mak kamu berdua berada di hospital sekarang.”
 “Pak Mail boleh bawa kami ke sana?” kata Amran.  “Ya sudah tentu boleh” kata Pak Mail.

Setelah tiba di hospital Amran dan Amir segera menemui ibunya yang terlantar sakit.
 “Ibu bagaimana boleh terlantar di hospital?”. Tanya Amran dengan beribu persoalan.
“Sebenarnya  ibu mengalami kemalangan sedikit dan tidak begitu teruk” kata ibunya.
“Ibu, siapa yang menghantar ibu ke sini?”. Tanya Amran.
“Pak Maillah yang membawa ibu di hospital”, kata ibu.
“Ibu bila boleh di keluarkan daru hospital?”. Tanya Amir yang inginkan kepastian.
“Doktor mengatakan esok ibu di benarkan keluar dari hospital”, kata ibunya dengan nada gembira.
  “Ya ibu.  Alhamdulillah”, kata Amran dan Amir.
 “Ibu nak tahu hari ini kami dapat keputusan peperiksaan penggal pertama.  Abang dan Amir dapat tempat pertama”, kata Amir dengan perasaan yang gembira.
 “Kami buat semua tu untuk ibu”, kata Amran.
  “Sebenarnya ibu, kami takut ibu tinggalkan kami”, kata Arman. Tanpa Mak Salmah  sedari air matanya menitis.
“Ibu jangan nangis.  Kami ada buat salahkah?”. Kata Amir dengan nada serba salah.
 “Tidak sayang kamu tidak buat salah”, kata ibunya.
“Ibu, malam ni kami akan jaga ibu ya”, kata Amir.
Keesokan paginya Amran terjaga dari tidurnya lalu melihat wajah ibunya yang semakin di mamah usia.  Hari ini jugalah ibunya dikeluarkan dari hospital.  Ibunya diarahkan oleh jururawat untuk membayar bil rawatan.  Lalu Amran diberitahu bahawa bil rawatan tersebut telah dilunaskan oleh Pak Mail.
Berita kemalangan yang menimpa ibu Amran dan Amir, tersebar di sekolah. Ramai rakan dan guru bertanya tentang kesihatan ibu mereka.
“Amran bagaimana tentang kesihatan ibu kamu?”.  Tanya Cikgu Azizah.  “Alhamdulillah ibu saya semakin sihat”, kata Amran.
“Oh...  baguslah kalau macam tu”, kata Cikgu Azizah
Beberapa minggu lagi Amir akan menhadapi peperiksaan besar iaitu
PMR manakala abangnya akan menghadapi peperiksaan SPM.
          Amir membuat persediaan akhir bagi menghadapi peperiksaan PMR yang bakal menjelang. 
“Adik dah sedia masuk dewan peperiksaan esok?”.  Tanya Arman dengan penuh tanda tanya. 
“Insyaallah bang”, kata Amir dengan penuh semangat.
          “Adik pergilah masuk tidur dahulu, esok pagi kena bangun awal kita solat berjamaah dengan ibu sekali”, kata Amran.
          Dengan berkat doa ibunya, Amir dipermudahkan untuk menjawab kesemua soalan.  Selang sebulan, Amran pula menghadapi pertempuran yang menentukan masa depannya. 
          “Nak doa ibu setiasa dengan mu”, kata ibunya kepada Amran.  Amran dapat menjawab kesemua soalan dengan mudah.  Meskipun sebelum ini dia terpaksa berkerja sambilan untuk menampung perbelanjaan mereka sekeluarga.  Bagi Amran, itu adalah tanggungjawabnya sebagai anak sulung. 
          Selepas tamatnya peperiksaan SPM, Amran mencari pekerjaan untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga.  Amir meneruskan pelajarannya ke tingkatan empat.  Amir mendapat keputusan yang cemerlang.    Dia menjadi pelajar terbaik di sekolahnya.
          Amran berkerja di pekan dan tidak jauh dari rumahnya. Dia juga dapat melunaskan yuran persekolahan Amir.
 “Adik, ini wang untuk yuran persekolahan kamu” kata Amran kepada adik kesayangannya.
Tidak lama kemudian Amran mendapat keputusan peperiksaan.  Dengan perasaan gementar Arman pergi mengambil keputusan tersebut. 
“Assalammualaikum puan, boleh saya bertanya di mana saya perlu mengambil slip keputusan SPM?”.  Tanya Amran dengan sopan. 
“Waalaikumsalam, kamu boleh ambil keputusan kamu di bilik guru”, kata Puan Siti.
“Terima kasih puan”,  kata Amran.
Apabila Amran tiba di bilik guru, kesemua guru memandang Amran dengan wajah yang gembira.
“Tahniah Amran.  Kamu mendapat keputusan yang cemerlang. Tidak sia-sia usaha kamu selama ini”, kata Cikgu Harun.
Amran melanjutkan pelajaran sehingga ke tingkatan enam.  Apabila Amran memasuki tingkatan enam dia masih berkerja sambilan untuk mencari wang tambahan bagi menampung perbelanjaan sehari-hari.  Dia juga menyediakan kemudahan untuk adiknya supaya dapat menumpukan pelajaran.   Amran telah berjanji pada dirinya mampu memberi kesenangan kepada ibu dan adiknya. 
Amran ditawarkan untuk memasuki universiti dalam bidang kejuruteraan awam.  Pada mulanya, dia tidak mahu melanjutkan pelajaranya.  Namun, ibunya terus memujuknya agar meneruskan perjuangannya.  Kata ibunya, menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.  Akhirnya dia bersetuju dan Amir telah berjanji untuk menjaga ibunya dengan baik. 
“Amran pergilah menuntut ilmu.  Tentang ibu kamu janganlah dirisaukan.  Pak Cik akan turut membantu adik kamu untuk menjaganya”, kata Pak Mail.
          Setelah tamat pengajian, Amran telah diberikan pekerjaan di sebuah syarikat yang terkenal di ibu kota.  Setelah lama berkhidmat di syarikat itu, Arman memulakan langkah untuk membangunkan syarikatnya sendiri.  Amran telah membawa ibu dan adik kesayangannya untuk tinggal bersamanya.  Dia berusaha bersungguh-sunggguh untuk membalas budi ibunya yang telah bersusah payah membesarkan dia dan adiknya, Amir.
          “Ibu, ini adalah hadiah untuk ibu kerana telah mendidik kami sehingga menjadi manusia  yang berguna”, kata Amran yang menitiskan air mata.
          “Abang nak kita semua menunaikan umrah bersama-sama”, kata Amran dengan nada yang gembira.
          Pada suatu pagi, selepas mereka sembahyang bersama dengan tiba-tiba Mak Salmah jatuh pengsan.  Mereka berdua cemas dan bergegas menghantar Mak Salmah ke hospital.  Doktor mengesahkan bahawa ibunya menghidap barah otak tahap akhir.  Mereka berdoa agar ibunya dapat disembuhkan.  “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu.  Engkau berikanlah kesembuhan kepada ibuku, lanjutkanlah usianya agar kami dapat membalas segala jasa sejak melahirkan kami sehinggalah dewasa.  Aku bermohon kepada–Mu”, doa untuk ibu mereka kepada Allah S.W.T sambil air mata bergenang di mata mereka.  
          Doktor mengesahkan Mak Salmah berada di tahap yang kriktikal dan kemungkinan peluang untuk hidup itu sangat tipis.  Akhirnya, Mak Salmah disahkan meninggal dunia. Sebelum pemergian Mak Salmah, dia telah meniggalkan warkah untuk mereka berdua.
          ‘Wahai anakku Amran dan Amir, apabila kamu membaca surat ini mungkin sekarang ini ibu telah pergi.  Sebenarnya ibu menghidapi barah otak ini sudah lama namun, ibu tidak memberitahu keadaan ibu kerana takut kamu tidak mahu menuruskan pelajaran lagi disebabkan risau tentang kesihatan ibu.  Oleh itu, ibu tidak ingin melihat anak ibu gagal kerana ibu. 
          Ibu sanggat berbangga dengan kamu berdua.  Ibu ingin kamu tahu ibu sangat sayang kamu berdua.  Doa ibu sentiasa mengiringi perjalanan anak-anak ibu.  Maafkan ibu kerana tidak dapat memberikan kesenangan kepada kamu berdua.  Hanya itu yang mampu ibu katakan kepada kamu.  Ibu sayang kamu’.
          Akhirnya baru aku sedari pengorbanan seorang ibu tiada tolok bandingnya. Oleh kerana itu, kami sanggat sayang dengan insan yang bergelar ibu.

-TAMAT-

Friday, 7 March 2014

Sajak

TAJUK : ANAK

Wahai anakku
Tatkala membawa dirimu ke kota
Ku menangis tak tertahan
Ku relakan pemergian mu
Kerna janji mu akan kembali

Wahai anak ku
Kini aku hanya di temani bayangan
Bayangan semua tentang diri mu
Namun ku tak mengerti akan diri mu
Semudah itu kau melupakan ku

Wahai anak ku
Mana janji manis mu
Janji yang kau tabur dulu
Janji untuk membahagiakan ku
Di manakah janji itu ?

Wahai anak ku
Kini tlah ku sadari
Kau melupakan diri ku
Namun doa ku
Tetap mengiring jalan mu

Sajak...



TAJUK: BAS

Kehadiran mu sering ku nantikan
Aku menanti mu siang dan malam
Menanti mu umpama suatu penyiksaan
Penyiksaan yang menguji kesabaran ku

Andainya kau tiada
Hidup ku tak keruan
Andainya kau terlewat
Hari ku dirundung malam

Dalam suasana kelas memanggil ku
Pensyarah mulai membuka bicaranya
Dengan hati yang terbuka
Mencari 1001 alasan untuknya

Dengan harapan setinggi gunung
Aku akan setia menunggu mu
Menunggu mu dengan penuh hikmah
Demi meneruskan perjuangan ku
Perjuangan yang belum selesai

Saturday, 1 March 2014

Batu Nousung (BATU SUMPAHAN)


Pada zaman dahulu, di sebuah kampung yang bernama Sawangan terdapat seorang perempuan tua yang mempunyai seorang anak lelaki. Aman, nama yang diberikan kepada anak itu. Kehidupan mereka sangat daif sehingga boleh dikatakan “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”. Orang kampung acapkali menyisihkan mereka kerana hidup mereka yang daif. Walaupun begitu, Aman telah dididik agar sentiasa berlaku baik kepada sesiapa sahaja, tanpa mengira hartanya.

          Tahun-tahun sudah pun berlalu dan si anak kini telah dewasa. Semakin hari semakin tekad dia mahu mengubah nasib keluarganya. Lidahnya tidak pernah lekang berdoa agar mereka dapat mengecapi kemewahan dan tangannya tidak pernah berhenti berusaha mencari rezeki. Tanpa disangka-sangka, rezeki datang bergolek dan doa Aman termakbul. Hal ini kerana Kampung Sawangan menjadi tempat persinggahan kapal-kapal pedagang sementara menunggu ribut di laut reda.
          Para pedagang mulalah berniaga di Kampung Sawangan dan orang kampung berpusu-pusu mahu melihat barang-barang yang bakal didagangkan. Namun begitu, hanya sebuah perniagaan sahaja yang menjadi tumpuan ramai terutamanya teruna-teruna Kampung Sawangan. Khabar angin mengatakan ramai teruna bertumpu di situ kerana terdapat seorang gadis yang rupawan. Akibat kecantikkannya yang teramat sangat, gadis tersebut seringkali diganggu oleh teruna-teruna di Kampung Sawangan.

          Keadaan menjadi semakin teruk saban hari sehinggalah datangnya seorang pemuda yang membantu gadis itu daripada terus diganggu. Lantas, gadis itu membawa pemuda tersebut berjumpa dengan ayahandanya bagi membalas budi baiknya. Sebaik sahaja bertemu dengan ayahandanya, dia pun menceritakan hal yang telah berlaku dan bagaimana pemuda tersebut menolongnya. Sesudah mendengar keperkasaan pemuda itu, ayahanda gadis itu berkata, “Wahai orang muda, hamba sangat berterima kasih dengan pertolongan yang tuan hamba berikan kepada anak gadis hamba. Bolehkah hamba tahu nama tuan hamba?”. Lalu pemuda tersebut pun menjawab, “Nama hamba Aman,”.

          Hatta, ayahanda gadis itu bertanya lagi, “Aman, mahukah tuan hamba bekerja di atas kapal ku? Ini sahaja cara yang hamba mampu untuk membalas jasa tuan hamba,”. Rasa gembira dan tidak percaya terus menyergah Aman. Dia mahu sahaja menerima tawaran tersebut, namun Aman menjawab, “Maafkan hamba, tetapi hamba rasa hamba perlu mendapatkan restu daripada ibu hamba terlebih dahulu,”. Dengan perasaan gembira Aman pun pulang ke rumah dan memberitahu ibunya berita baik kerana dia telah ditawarkan bekerja di atas kapal.

 Si ibu berasa sangat sukar untuk menerima berita itu kerana terpaksa berjauhan dengan anaknya. Hatinya sayu memikirkan kehidupannya tanpa Aman di sisi. Setelah berfikir panjang, ibu Aman merestui permintaannya untuk bekerja di atas kapal. Ibunya berpesan, “Nak, janganlah kamu lupa untuk berbuat baik kepada sesiapa sahaja. Jika kamu sudah kaya nanti, janganlah kamu lupa diri dan hanyut dengan arus kemewahan,”. Aman pun berjanji kepada ibunya bahawa dia tidak akan lupa diri dan berjanji untuk mengubah kehidupan mereka.

Setelah keadaan di laut kembali reda, Aman pun pergi belayar. Dalam pelayaran itu, dia pun berkerja dengan rajin. Dia mula disenangi oleh anak-anak kapal yang lain. Aman mulai bertanya-tanya siapa gerangan nakhoda kapal ini  lantas dia pun bertanya rakannya untuk mendapatkan kepastian. Setelah mendapat tahu gerangan nakhoda kapal tersebut dia berasa terkejut kerana saudagar yang telah dibantu olehnya ialah nakhoda kapal tersebut. Terdapat beberapa orang rakanya tidak berpuas hati dengan pemuda tersebut lalu terdapat beberapa cubaan untuk menjatuhkan pemuda tersebut. Namun dengan kebijaksanaan pemuda tersebut dapat mengatasi  dugaan yang dihadapi.  Nakhoda  telah  itu mulai mempercayainya kerana dia seorang yang jujur dan rajin. Dia telah menjadi orang kepercayaan nakhoda.  

Nakhoda itu mempunyai seorang anak gadis yang diberi nama Seri. Padan dengan namanya Seri merupakan seorang gadis yang sangat cantik  Raut wajahnya bujur sirih, pipinya kemerah-merahan bak mawar yang sedang mekar dan rambutnya hitam berkilat serta ikal. Dipendekkan cerita, ramai teruna berangan-angan untuk berdamping dengannya. Namun begitu Seri telah jatuh hati kepada pemuda tersebut. Pada masa yang sama musuh  pemuda tersebut juga mempunyai perasaan terhadap anak nakhoda tersebut. Lantaran itu tercetusnya pergaduhan yang besar akibat dendam yang bersarang dalam diri musuh pemuda tersebut. Nakhoda kapal tersebut mempunyai idea untuk menyelesaikan masalah tersebut dangan cara beradu kekuatan dan kebijaksanaan. Aman berjaya menewaskan musuhnya itu dan dapat mengahwini anak kepada nakhoda kapal tersebut.

Setelah beberapa purnama berlayar, kapal tersebut berlabuh di kampung halaman pemuda tersebut untuk menambah bekalan makanan supaya dapat meneruskan pelayaran mereka. Penduduk kampung terlihat akan kapal tersebut dan ingin mengetahui pemilik kapal tersebut. Salah seorang penduduk kampung mengetahui akan pemilik kapal tersebut ialah milik pemuda tersebut. Berita tersebut telah tersebar dan sampai kepada ibunya.

Apabila si ibu diberitahu akan kepulangan anak kesayanganya dia berasa sangat gembira dan terharu. Si ibu pun menyambut kepulangan anaknya yang sangat dinanti-nantikan setelah sekian lama tidak berjumpa.  Si ibu sangat terkejut apabila pemuda tersebut tidak mengakui bahawa dialah anaknya yang dikandungnya selama sembilan bulan.  Ibunya menjaganya seperti “menatang minyak yang penuh”. Namun balasan yang diberikan kepada si ibu tidak setimpal dengan kasih sayang  yang selama ini di curahkan. Janji manis pemuda tersebut kepada ibunya untuk mencari kamewahan agar dapat mengubah nasib keluarganya dilupakan begitu sahaja. Sewaktu kecil, si ibu bersusah payah mencari rezeki untuk membesarkan anaknya sehingga harus berlapar semata-mata untuk memberi sesuap nasi untuk anak kesayangannya. Namun setelah pemuda tersebut mendapat kemewahan yang diimpikan, dia terus melupakan pengobanan dan janji yang diucapkan kepada ibunya.


Hati si ibu sangat sedih dan hancur apabila anaknya tidak mengakui bahawa dia ialah ibu kandungnya.  Dengan perasaan sedih dia berharap dan berdoa supaya anaknya mendapat balasan untuk memberi pengajaran kepada anaknya yang seperti “kacang lupakan kulit”. Anaknya telah berubah menjadi batu bersama kapalnya dan batu tersebut  di panggil sebagai batu unsung(batu sumpahan)